Khamis, 28 April 2011

Bingkisan Nurani Buatmu, ADAM....

Didoakan semoga kalian beroleh selamat serta berada di bawah lindungan payung rahmat ALLAH S.W.T.



 Adam,
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kau kesunyian di syurga dahulu. Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan serta pimpinan darimu. Sentiasa mahu terpesong dari landasan, kerana aku BURUAN SYAITAN!!!


 Adam,
Maha Suci Allah yang telah mentakdirkan bilangan kaumku melebihi bilangan kaummu di akhir zaman. Inilah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusan-Nya. Jika bilangan kaumku melintasi bilangan kaummu, nescaya merahlah dunia kerana darah manusia, kacau bilaulah suasana. Adam sesama Adam bermusuhan kerana Hawa, buktinya sudah cukup nyata dari peristiwa Qabil dan Habil dan ianya akan berterusan sehingga pada zaman cucu cicitnya. Dengan kelebihan kaumku ini, maka selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan beristeri lebih daripada satu, tetapi tidak lebih dari satu waktu.


 Adam,
Aku tahu bahawa engkau mengetahui bahawa ada termaktub di dalam kitab suci Al-Quran bahawa, " Lelaki itu pemimpin bagi kaum wanita". Kau diberi amanah untuk mendidik aku, kau diberi tanggungjawab untuk menjagaku, mengawasiku serta membimbingku agar aku sentiasa berada di dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu. Tetapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang telah terjadi pada kaumku ini?! Aku dan kaumku telah menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari landasan yang telah ditetapkan. Kerana itulah Muhammad S.A.W, kekasih Allah S.W.T pernah menyatakan bahawa kaumkulah yang paling ramai menghuni neraka kerana kederhakaan terhadapmu!


 Adam,
Marahlah kau jika kukatakan andainya Hawa terpesong, Adamlah yang pertama sekali perlu dipersalahkan. Mengapa Adam?? Kerana mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Mana mungkin akhlak mazmumahmu mampu menjadikan aku wanita yang solehah?? Adam seandainya kau melihat akhlak mazmumah pada kaumku, kau sepatutnya bersedih! Kerana ini telah membuktikan betapa gagalnya engkau menjadi seorang pemimpin!!


 Cuba renungkan kembali, mengapa beribu-ribu tahun dahulu terlalu banyak wanita-wanita solehah?? Khadijah, Aisyah, Fatimah, Asiah, Sumayyah dan terlalu bayak lagi bilangannya sehingga tak termampu untukku abadikan namanya disini... Mengapa Adam?? Jawapannya mudah sekali Adam...mereka dipimpin oleh seorang yang terlalu baik akhlaknya iaitu Nabi Muhammad S.A.W. dengan mendidik kaumku dengan penuh berhikmah serta di dalam diri Baginda sendiri telah wujud uswah hasanah yang mampu dicontohi oleh para wanita itu.


 Adam,
Kau adalah imam dan aku adalah makmummu. Aku adalah pengikutmu kerana kau adalah ketua. Jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau terpesong dan lalai, maka aku lebih dari itu, Adam!! Adam, kau memiliki kelebihan akal, manakala nafsu merupakan kelebihanku. Dinisbahkan akalmu sembilan, nafsumu satu... Aku?? Akalku satu tetapi nafsuku sembilan.


 Adam,
Pimpinlah aku dengan akhlak, ilmu, iman dan takwamu. Kerana aku sering lalai dan lupa. Sering ditolak oleh nafsu dan konco-konconya. Aku kini hampir tenggelam, pimpinlah aku menjauhi kemaksiatan terhadap Allah, bukan dengan menjerumuskan aku kedalamnya!! Akalku senipis rambutku, engkau tebalkanlah ia dengan ilmu. Hatiku yang rapuh nan kaca, kau kuatkanlah ia dengan iman. Perasaanku selembut sutera, bimbinglah aku agar menghiasinya dengan akhlak mahmudah.


 Adam, 
Terlalu panjang rasanya luahan hatiku, moga dengan berakhirnya tintaku ini maka turut berakhirlah episod silam kejahilanmu dan bukalah lembaran baru dalam hidupmu agar mampu memimpinku kelandasan yang benar. Adam, untuk terakhirnya ingatlah jika engkau terasa jauh dari landasan Islam maka aku akan terasa lebih jauh dari itu, kerana engkau pemimpin dan aku adalah pengikutmu.


Sekian,
Bisikan Nuranimu,
Hawa <3 ...

Tiada ulasan:

My Life ~

Daisypath Happy Birthday tickers